Wednesday 10 September 2014

INTEGRITI

Integriti sebenarnya berasal daripada istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ini biasanya menjurus ke arah perwatakan seseorang. Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Daripada maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai dan boleh pegang cakapnya.



Integriti secara umumnya ialah kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu dan organisasi. Integriti berkaitan erat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam tindakan sehari-hari.

1.Integriti Individu
Integriti individu ialah keselarasan di antara apa yang dikatakan oleh individu dengan apa yang dikotakannya; keselarasan di antara tindakannya dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Apa yang dilakukan individu itu pula cepat, tepat dan bermutu. Apabila dia bertindak atau bertingkah lalu demikian secara konsisten dalam pelbagai segi, dia dikatakan mempunyai integriti. Apabila bertindak sebaliknya, dia dikatakan tidak berintegriti atau lemah integritinya.

2. Integriti Organisasi
Selain individu, organisasi juga mesti mempunyai integriti. Integriti organisasi tercermin dalam perumusan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika organisasi ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi.

3. Integriti Penjawat Awam
Bagi individu yang memegang amanah seperti mereka yang menjawat jawatan awam, integriti bermaksud melaksanakan amanah dan kuasa yang dipertanggungjawabkan menurut kepentingan umum. Penjawat jawatan itu tidak boleh menyalahgunakan kuasanya untuk kepentingan diri, keluarga, saudara mara atau kaum kerabat sendiri. Apabila berlaku konflik kepentingan, ia mesti diselesaikan dengan memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Dengan demikian penjawat itu perlu telus dan tulus, harus memikul pertanggungjawaban terhadap ketuanya, orang di bawahnya dan kepada pihak lain.

Kesimpulan
Pembudayaan etika dan integriti individu harus melalui satu proses seumur hidup. Ia melibatkan peranan pelbagai institusi masyarakat seperti keluarga, pendidikan dan media massa. Pembudayaan etika dan integriti dalam organisasi pula, menuntut kepimpinan bertindak sebagai teladan (role model) manakala anggota lain menzahirkan kod itu dalam tindakan mereka. Organisasi juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan realistik yang dikongsi bersama oleh anggota organisasi. Ia perlu mempunyai sistem dan prosedur yang baik bagi melicinkan pelaksanaan tugasnya secara cekap, teratur, dan tepat, di samping mempunyai sistem kawalan kualiti, pemantauan, ganjaran dan penghukuman. Etika dan integriti yang digariskan itu perlu dipatuhi kerana akhirnya seseorang itu bertanggungjawab kepada Tuhannya.

Sumber: Pelan Integriti Nasional.



MINGGU INTEGRITI DI IPG
Pelaksanaan Minggu Integriti akan dilaksanakan di 27 buah Institut Pendidikan Guru (IPG). Minggu Integriti yang akan dilaksanakan pada tahun 2014 adalah merupakan kerjasama antara Institut Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) dengan Institut Integriti Malaysia (IIM).

Objektif Minggu Integriti diadakan adalah untuk :
  • Meningkatkan kefahaman warga pendidik tentang integriti dan Pelan Integriti Nasional (PIN).
  • Meningkatkan komitmen warga pendidik tentang peranan yang boleh dimainkan dalam mengukuhkan integriti masyarakat.
  • Mendapatkan kerjasama warga pendidik bagi membantu menyebarluaskan kefahaman tentang integriti dan PIN dalam kalangan pelajar. 
  • Menyemaikan peribadi mulia yang terdapat pada diri individu meliputi nilai-nilai amanah, jujur, ikhlas, sabar, anti rasuah, berlapang dada, telus, bertanggungjawab dan ciri-ciri positif yang lain.

Minggu Integriti IPGKIK

Minggu Integriti Institut Pendidikan Guru, Kampus Ilmu Khas akan diadakan pada 22 - 25 September 2014. Matlamat program ini adalah untuk memberikan kefahaman yang jelas tentang nilai integriti dalam institusi pendidikan, seterusnya membudayakan amalan integriti dalam kehidupan. Matlamat Minggu Integriti tersebut adalah untuk memastikan semua warga pendidik mempunyai kefahaman yang jelas tentang nilai integriti, menggerakkan aktiviti integriti dalam institusi pendidikan, dan membudayakan amalan integriti dalam kehidupan seharian.

Aktiviti yang akan dilaksanakan adalah seperti dalam jadual yang dilampirkan:




0 comments:

Post a Comment